2,737 peserta WST jana pendapatan RM2,500 sebulan – Fatimah

Sarawak Legislative Assembly Complex (file photo)
Advertisement

KUCHING, 19 Nov: Women Skills Training (WST) yang diadakan di sepanjang tahun 2024 berjaya membantu 2,737 peserta menjana pendapatan sekitar RM2,500 sebulan.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, hasil pemantauan sehingga Oktober 2024 seramai 2,659 peserta telah berjaya menjana pendapatan bulanan sehingga RM2,499.

“Manakala seramai 78 peserta telah berjaya menjana pendapatan bulanan sebanyak RM2,500 ke atas,” katanya dalam ucapan penggulungan Kementerian di Persidangan Dewan Undangan Sarawak hari ini.

Advertisement

Pada tahun ini sehingga Oktober 2024, sebanyak 185 sesi kursus WST telah berjaya dianjurkan dengan penyertaan seramai 4,352 peserta daripada pelbagai latar belakang.

Tambah Fatimah, usaha pengupayaan kapasiti wanita diteruskan dengan penyediaan peluang mengikuti kursus kemahiran jangka pendek iaitu kursus Jahitan, Kulinari, Kecantikan dan Spa dan Urut.

Katanya, pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi telah mendorong penyertaan mereka dalam aktiviti ekonomi dan membolehkan penjanaan pendapatan sendiri.

“Pencapaian ini memberi impak positif dalam usaha memperkukuhkan daya tahan ekonomi keluarga, terutama dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat,” ujar Fatimah. — DayakDaily

Advertisement