26 pelajar sukan terkandas, diterbangkan pulang ke Sarawak

Fadillah(kanan) memberi kata semangat kepada kumpulan pelajar tersebut di KLIA hari ini.
Advertisement

KUCHING, 8 JUN: Lega dan terharu, itulah perasaan 26 pelajar dari Sarawak yang menuntut di Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS) apabila dapat pulang ke Sarawak pada hari ini.

Kumpulan pelajar ini terkandas di Kota Kinabalu selepas sekolah berkenaan diarah tutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 1 Jun lepas.

Kepulangan pelajar berkenaan dengan penerbangan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2.05 petang ini diuruskan Kerajaan Negeri Sarawak melalui Rumah Sarawak di Kuala Lumpur dan Sarawak Volunteers serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Advertisement

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Penaung Sarawak Volunteers menghantar pulang pelajar berkenaan di KLIA.

Terdahulu, kesemua pelajar berkenaan diterbangkan dari Kota Kinabalu menerusi penerbangan pada jam 4.55 petang semalam (7 Jun 2021) dan tiba di KLIA jam 7.30 malam tadi.

“Pihak Sarawak Volunteers telah dihubungi mengenai kedudukan pelajar berkenaan selepas asrama dan sekolah diarah ditutup susulan PKP.

“Dengan kerjasama semua pihak berkenaan, kepulangan pelajar terbabit telah dapat diuruskan segera,” katanya ketika ditemui di KLIA.

Mohamad Aiman Fitri Mohamad Osman

Dalam pada itu, ketua kumpulan pelajar berkenaan Mohamad Aiman Fitri Mohamad Osman berkata, mereka bersyukur kerana akhirnya dapat pulang selepas sekolah diarah tutup.

Menurut Aiman ,20, yang berasal dari Sarikei yang juga atlet sukan lompat tinggi, segala urusan berjalan lancar.

“Malah setibanya dari Kota Kinabalu malam tadi, segala urusan termasuk penginapan dan makan minum kami diuruskan Sarawak Volunteers dan Rumah Sarawak,” katanya.

Vanessa Payak

Bagi Vanessa Payak, 19, atlet olahraga berketurunan Bidayuh dari Bau, perasaan lega dan terharu menyelebungi apabila diberitahu mereka dapat pulang.

Malah katanya, urusan kepulangan mereka ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Sarawak.

Bagi pelajar olahraga berketurunan Kenyah, Rozales Sigau, 16, dari Bintulu, yang menuntut di SSMS sejak 2018, beliau terharu dengan keprihatinan Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Volunteers dan Rumah Sarawak serta Kementerian Pendidikan yang menguruskan dengan lancar urusan kepulangan mereka.

“Bagaikan tidak percaya kami dapat pulang hari ini, apa lagi memang susah kalau nak balik sendiri dalam keadaan pandemik dan PKP seperti sekarang. Terima kasih kepada semua yang membantu kami,” katanya.

Bagi atlet lompat tinggi bergalah, Yulieya Anasha Sanin, 14, berkata mereka berdepan masalah untuk menguruskan sendiri kepulangan berikutan kesukaran mendapatkan penerbangan.

“Alhamdulillah dengan bantuan Kerajaan Sarawak dan Kementerian Pendidikan, kami dapat pulang ke Kuching melalui KLIA,” katanya yang akan pulang ke kampung halamannya di Miri selepas selesai menjalani kuarantin 14 hari di Kuching.

Pelajar termuda, Alfando Gerry Mike, 13, dari Limbang berkata, beliau tidak sabar untuk berjumpa keluarganya apa lagi beliau tidak dapat pulang untuk menyambut Gawai baru-baru ini.

Anak ketujuh dari lapan beradik berketurunan Iban ini adalah atlet acara terjun dan seperti rakan-rakannya yang lain, beliau juga perlu menjalani kuarantin 14 hari sebelum dihantar pulang ke Limbang oleh Jabatan Pendidikan Negeri.

Daripada 26 pelajar berkenaan, 12 berasal dari Miri, lima dari Sibu, lima dari Kuching, tiga dari Bintulu, seorang dari Limbang.

Kesemua mereka diterbangkan ke Kuching dan akan dikuarantin wajib di Kuching sebelum dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak. — DayakDaily

Advertisement