26 pelajar SPL sertai Program Jom Berambeh ke Malaya

Pelajar dan pensyarah bergambar kenangan di Dataran Merdeka yang merupakan salah satu lokasi di dalam lawatan Heritage Trail.

Oleh Dean Adam

KUCHING, April 15: Seramai 26 pelajar Sijil Pelancongan dan Pengembaraan (SPL) Kolej Komuniti Kuching menyertai Program Jom Berambeh ke Malaya anjuran Unit Pelancongan dan Pengembaraan baru-baru ini.

Program tersebut merupakan projek akhir pelajar SPL yang diadakan khusus untuk memberi pendedahan tentang pembangunan pakej pelancongan yang sebenar melibatkan kawasan sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka.


Program Jom Berambeh ke Malaya diadakan dengan objektif untuk melahirkan pelajar yang peka dengan produk dan perkhidmatan pelancongan serta bidang kerjaya yang luas di dalam bidnag tersebut. Selain itu, ia juga bertujuan melahirkan generasi usahawan dan memahami konsep pengendalian industri pelancongan untuk diaplikasikan di Sarawak.

Penasihat Utama Program, Nurul Dafiqah Kamarulzaman berkata, program itu diharap dapat memberi pendedahan kepada pelajar tentang gambaran sebenar proses mengendalikan lawatan, meningkatkan kemahiran pelajar berkaitan perkhidmatan pelanggan dalam industri pelancongan.

Katanya, program sama juga memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran aktiviti rekreasi dan seterusnya melahirkan penggiat rekreasi yang berketerampilan dalam industri pelancongan mengikut standard yang ditetapkan.

“Lawatan selama 4 hari 3 malam itu memerlukan pelajar sendiri yang terlibat untuk membangunkan pakej pelancongan dan menyusun atur cara.

“Selain itu, pelajar juga bertanggungjawab untuk membuat tempahan dan berurusan dengan vendor pelancongan untuk melengkapkan pakej lawatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Nurul Dafiqah menambah, keutamaan yang diperlukan dalam program itu adalah semestinya peluang untuk mengaplikasikan kurikulum yang dipelajari di dalam kelas ke dalam dunia yang sebenar.

Jelasnya, pelajar boleh mempelajari secara “hands-on” melalui siri lawatan ke lokasi-lokasi pelancongan seperti ini.

Pada hari pertama lawatan, pelajar dibawa ke sekitar Kuala Lumpur dan Selangor antaranya Heritage Trail bersama DBKL, melawat Malaysia Tourism Center (MATIC), KLCC dan Batu Caves.

Pelajar juga berpeluang merasai pengalaman menaiki Hop on-Hop off, LRT dan MRT untuk ke lokasi-lokasi lawatan.

Hari kedua program pula, pelajar di bawa ke Melaka untuk melawat tempat-tempat bersejarah dan mengenali budaya masyarakat setempat selaras dengan subjek yang dipelajari iaitu Budaya Pelancongan.

Di hari terakhir program, pelajar diberi kesempatan untuk menyertai aktiviti cabaran di Sky Trex Adventure di mana ia menguji ketahanan fizikal dan mental pelajar dalam menyelesaikan cabaran yang diperlukan. — DayakDaily