249,000 individu Sarawak diseru dapatkan dos penggalak

Uggah pada lawatan ke projek Taman Tebingan Sungai Spaoh.

KUCHING, 28 Feb: Seramai 249,000 individu di Sarawak yang masih belum mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 diseru tampil mendapatkan dos berkenaan.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berharap orang ramai mengambil peluang yang disediakan oleh kerajaan.

“Ini bertujuan menggandakan lagi keberkesanan dos vaksin sebelum ini,” katanya.

Uggah berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Delegasi Tiga Tahun Sekali Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Tengah, Spaoh pada Ahad.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak menambah, sehingga Sabtu, sekitar 86.3 peratus penuduk Sarawak telah mendapatkan dos penggalak.

Beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memaklumkan varian Omicron mempunyai kadar jangkitan tinggi pada masa ini.

Terdahulu, beliau telah melawat projek Taman Tebingan Sungai Spaoh yang bernilai RM6.2 juta dan pasar Spaoh bernilai RM5 juta yang kini sedang dalam pembinaan. ― DayakDaily