23 projek menaik taraf dan membina semula sekolah daif menggunakan kaedah IBS di Sarawak mendahului jadual

Fadillah (kanan) bersama isteri, Datin Seri Ruziah Mohd Tahir (dua dari kanan) ketika menerima kunjungan daripada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian (kiri) dan isteri, Datin Enn Ong (dua dari kiri).

KUCHING, Jun 17: Sebanyak 23 daripada 50 projek menaik taraf dan membina semula sekolah daif menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) di Sarawak, kini mendahului jadual.

Bekas Menteri Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata kesemua 50 projek tersebut yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sepatutnya siap pada Jun 27 tahun ini.

Ketika ditemu-bual pada Majlis Rumah Terbukanya di Kompleks CIDB Wilayah Sarawak, hari ini, beliau berkata dia difahamkan oleh JKR setakat ini 23 daripada 50 projek di Sarawak kini mendahului jadual.


Sekolah terlibat termasuklah SK Rentap di Sarikei iaitu sudah 77.87 peratus kemajuan sebenar berbanding 50.08 peratus kalau ikut jadual (iaitu mendahului jadual 27.79 peratus).

Fadillah menyatakan demikian bagi memberi maklum balas terhadap kenyataan Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Micheal Manyin yang mahu supaya beliau menjelaskan mengenai status pelaksanaan sekolah daif di Sarawak dengan kaedah ‘Industrialised Building System’ (IBS) digunakan bagi pelaksanaan projek berkenaan.

Beliau menambah sekolah lain yang mendahului jadual ialah SK Pujut Corner di Miri (19.45 peratus), SK Sg Petai, Sarikei (16.98 peratus), SK Kpg Pangtray di Daro (15 peratus), SK Sungai Sugai di Julau (13 peratus), SK Ulu Sungai Salim di Sibu (13 peratus), SK Limpaki di Limbang (12.51 peratus), SK Sebangki di Lubok Antu (10.47 peratus), SK Sungai Pinang di Puncak Borneo (10 peratus), SJK Hua Kwong di Miri (9.29 peratus), SK Melaban di Lubok Antu (9 peratus), SK Sekarok di Lubok Antu (9 peratus), SK Kampung Teh di Mukah (8.95 peratus) dan SK Sungai Semerah di Puncak Borneo (8 peratus).

Selain itu ialah SK Ridan di Lubok Antu (7.58 peratus), SK Tengin/Sedarat di Lubok Antu (7.19 peratus), SK Ulu Daro (7 peratus), SK Nanga Kumpang di Lubok Antu (6.23 peratus), SK Tanah Putih di Sarikei (4.59 peratus), SK Kuala Mendalam di Limbang (4.76 peratus), SK Ulu Strass di Sarikei (3.01 peratus), SK Ng Lipus di Kanowit (1.10 peratus), SK Rantau Kemiding di Kanowit (0.80 peratus).

Kerja di SK Assun di Sarikei (72 peratus) adalah mengikut jadual.

Menurut Fadillah, penyerahan surat setuju terima bagi pembinaan semula dan menaik taraf sekolah daif menggunakan kaedah IBS di Sarawak telah diadakan pada Februari 23, 2018.

Menjelas lanjut, beliau berkata Fasa 1 pelaksanaan projek tersebut melibat 116 sekolah dan 50 daripada projek berkenaan dilaksanakan oleh JKR Malaysia, manakala 66 lagi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Katanya, JKR Malaysia juga telah melantik JKR Sarawak sebagai agensi pelaksana dengan menggunakan reka bentuk yang disediakan oleh JKR Malaysia dan kontraktor dipilih sendiri oleh JKR Sarawak.

Bagi 50 sekolah di bawah Fasa 1 yang dilaksanakan oleh JKR, sebanyak 13 kontraktor telah dipilih oleh JKR Sarawak untuk melaksanakannya dalam 13 pakej.

“Kaedah pembinaan projek yang menggunakan teknologi IBS mampu disiapkan dalam tempoh yang lebih singkat berbanding kaedah konvensional.

“Sehubungan itu, kerajaan sebelum ini telah memutuskan supaya kaedah IBS digunakan sepenuhnya di dalam pembinaan sekolah-sekolah daif ini,” katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata beliau juga dimaklumkan oleh JKR bahawa 29 lagi projek kini mengalami kelewatan antara 0.43 peratus hingga 30.76 peratus.

“Saya telah dimaklumkan oleh JKR punca kelewatan adalah masalah tapak tanah yang diluar jangkaan dan memberi kesan kepada kerja-kerja ‘piling’.

“Kerja-kerja ‘piling’ tertunggak sejak Mac 17, 2018 dan hanya dapat diteruskan semula pada Mei 4, 2018 selepas masalah berkaitan dapat ditangani.

“Punca lain kelewatan ialah masalah kontraktor, pembekalan dan masalah cuaca,” katanya. — DayakDaily