23 individu terima cek pampasan Projek Jalan Kampung Medong-Lebrasau-Klid Dalat

Fatimah merakamkan kenangan bersama penerima pampasan dan EFS.

KUCHING, 14 Julai: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah hari ini menyerahkan cek pampasan bagi Projek Jalan Kampung Medong-Lebrasau-Klid Dalat kepada 23 penerima.

Majlis yang diadakan di Balai Raya Kampung Medong Hulu, Dalat itu adalah untuk penerima 2 kilometer pertama projek.

“Hasrat kita adalah untuk melihat kampung yang paling hujung di kawasan Dalat seperti kampung-kampung lain dapat dihubungi dengan jalan raya,” katanya yang juga ADUN Dalat.

Projek Jalan Kampung Medong-Lebrasau-Klid Dalat sepanjang 11.5 kilometer melibatkan pembinaan tiga jambatan dengan kos keseluruhan RM50 juta.

Projek bermula pada 6 April 2020 dan dijangka siap pada 5 Oktober 2022.

Pada majlis itu, Fatimah turut menyampaikan Endowment Fund Sarawak (EFS) kepada 2 penerima, Bantuan Ibu Bersalin (BIB) dan Geran Tahunan Khas (GTK) Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak.—DayakDaily