21 negara bertanding di Perlumbaan Bot Naga Antarabangsa Sarawak 2024

Abdul Karim (tengah) pada sidang media di Kuching.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 16 Okt: Perlumbaan Bot Naga Antarabangsa Sarawak 2024 akan diadakan mulai 25 hingga 27 Oktober di Sungai Sarawak di sini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perlumbaan kali ini disertai lebih 2,000 peserta yang mewakili 61 pasukan dari 21 buah negara.

Advertisement

“Perlumbaan Bot Naga Antarabangsa 2024 ini akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 26 Oktober.

“Abang Johari akan melakukan upacara menitik mata naga sebagai simbolik perasmian,” kata Abdul Karim pada sidang media di Kuching hari ini semasa majlis penyampaian tajaan.

Tambah Abdul Karim, acara kemuncak iaitu Regatta Sarawak 2024 pula akan bermula pada 1 hingga 3 November.

Katanya, perlumbaan akhir bagi merebut gelaran Juara Sungai dengan hadiah RM30,000 akan diadakan pada 3 November.

“Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan menyaksikan perlumbaan Piala Raja Sungai pada 3 November 2024,” kata Abdul Karim.

Selain perlumbaan, turut diadakan adalah aktiviti sampingan seperti Sarawak Kitchen, Festival Kraf Tekstil Borneo dan Festival Gendang Melayu Sarawak.

Sejumlah kira-kira RM1.5 juta diterima penganjur dengan RM500,000 daripada Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai penaja platinum, manakala RM300,000 setiap satu daripada Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS), Petra Energy Berhad dan Bintulu Port Holdings sebagai penaja emas dan RM50,000 daripada JX Nippon Oil & Gas Exploration (Malaysia) Limited sebagai penaja gangsa. — DayakDaily

Advertisement