Oleh Brad Rantayy
MIRI, 25 Okt: Seramai 20 orang awam dikesan melanggar Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam operasi Noda/Cantas/pematuhan SOP PKPP di sekitar Miri pada 23 dan 24 Okt.
Sebanyak empat buah premis hiburan sekitar bandaraya ini telah diperiksa dalam operasi bermula sekitar jam 10 malam sehingga 12 pagi itu.
Antara kesalahan ingkar arahan PKPP melibatkan penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka dan gagal merekodkan butiran diri.
Seramai 10 anggota polis dan dua pegawai terlibat dalam menjalankan operasi tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah menyeru kerjasama orang ramai untuk penambahbaikan pengurusan keselamatan dalam usaha bersama mengelak ledakan Covid-19.
Individu yang ingkar SOP atau PKPP boleh dikenakan kompoun RM1,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342). — DayakDaily