Dasar baharu kukuhkan hak Sarawak terhadap sumber asli bakal diumum — Abang Johari

Abang Johari memberi ucapan di majlis Perasmian Konvensyen PBB Zon Selatan di BCCK hari ini (25 Okt 2020).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 25 Okt: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan mengumumkan satu dasar baharu bertujuan mengukuhkan hak Sarawak pada sumber-sumber asli yang ada di negeri ini.

Katanya, dasar tersebut akan diumumkan di dalam tempoh seminggu ini dan ia penting untuk mempertahankan sumber-sumber milik Sarawak.

“Hasil bumi di dalam tanah kita adalah hak orang Sarawak. Kalau hendak mengambilnya mesti meminta kebenaran dari Sarawak terlebih dahulu.

“Mesti ada lesen yang dikeluarkan oleh Sarawak dan ia adalah hak kita. Disamping itu,kita akan mempertahankan kuasa sedia ada di kawasan perairan,” kata Abang Johari.


Beliau berkata demikian pada pada majlis Perasmian Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Tambah Abang Johari, Sarawak juga telah menggazetkan Taman Marin Luconia Shoal di Bintulu bertujuan mempertahankan hak Sarawak di kawasan tersebut.

Tindakan tersebut, katanya, telah dipersoalkan oleh beberapa negara selain turut menuntut kawasan tersebut milik mereka.

“Saya katakan itu hak Sarawak. Kenapa mereka menuntut? Sebabnya adalah sumber yang berada di bawah tanah, itu yang penting.

“Dan Sarawak akan mempertahankan sumber-sumber tersebut,” ujar Abang Johari.

Luconia Shoals adalah satu kawasan yang berada lebih kurang 100km dari perairan Sarawak dan kaya dengan sumber minyak serta gas.

Bahagian selatan Luconia Shoals atau lebih dikenal sebagai Gugusan Beting Patinggi Ali terletak lebih kurang 163 hingga 180 kilometer dari pantai Sarawak.

Manakala bahagian utara pula berkedudukan 187 higga 254km dari pantai Sarawak. — DayakDaily