KUCHING, April 22: Bank Rakyat semalam meraikan seramai 50 kanak-kanak dari Tadika Kemas Kompleks Perumahan Polis Tabuan dan pengunjung di CityOne Megamall menerusi penganjuran Mini Autismlympic.
Program tersebut adalah bersempena ‘Kuching Run for Autism 2018’ dan Pameran Kesedaran Autisme yang dianjurkan oleh Persatuan Autistik Kuching (KAA).
Mini Autismlympic merupakan program sukan yang julung kali diadakan di bandaraya ini untuk kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun.
Acara sukaneka ini memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan kemahiran interaksi dan komunikasi, selain menerapkan sifat berani dalam persekitaran terbuka.
Antara acara sukan yang dipertandingkan adalah ‘Big Fish Story’, ‘Target Shoot’, ‘Run and Pick’ serta ‘Building The Tower’.
Konsep permainan yang dipertandingkan melibatkan sensori dan ketahanan fizikal peserta yang mana ia juga merupakan terapi yang dapat merangsang pergerakan dan emosi golongan autistik. — DayakDaily