195 gelandangan diselamatkan di seluruh negeri semenjak 2016

Fatimah melihat keadaan gelandangan di Sibu.

SIBU, 10 Oktober: Operasi jejak gelandangan yang dilakukan sejak 2016 hingga kini berjaya menyelamatkan seramai 195 individu di seluruh negeri ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata dalam tempoh itu sebanyak 83 siri operasi telah dijalankan secara berkala, bersepadu dan menerusi panggilan.

“Hasil siasatan, punca menjadi gelandangan adalah tidak diterima oleh keluarga, masalah mental, ketagihan minuman keras, lokasi tempat kerja yang jauh dan tiada tempat tinggal,” katanya semasa Program Tinjauan Gelandangan di Bandar Sibu, malam semalam.


Fatimah melihat keadaan gelandangan di Sibu.

Fatimah menambah, sekiranya operasi menyelamatkan gelandangan di Kuching, gelandangan perlu melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum dihantar ke Anjung Singgah, Rumah Seri Kenangan atau rumah keluarga mereka.

“Sekiranya gelandangan itu merupakan kategori pengemis, kita akan hantar mereka ke Desa Bina Diri. Di situ kita akan menyediakan motivasi, pemulihan dan kemahiran agar mereka tidak kembali menjadi pengemis,” katanya. — DayakDaily