1,800 durian Serian percuma pada Program Ju-Berambeh Makan Durian

Abang Johari (dua dari kiri) bersama penduduk di sekitar Satok menikmati durian di Program Ju-Berambeh Makan Durian.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Jan 27: Program Ju-Berambeh Makan Durian di Perkarangan Surau Darul Qarar, Satok di sini mendapat sambutan hangat penduduk di sekitar kawasan Satok.

Sebanyak 1,800 biji durian yang dibawa khas dari Bahagian Serian disediakan percuma untuk orang ramai bermula jam 10 pagi.

Advertisement

Program dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang turut serta menikmati keenakan durian khususnya durian dari Kampung Taee.

Orang ramai menikmati durian di Perkarangan Surau Darul Qarar, Satok.

Bercakap kepada pemberita, Abang Johari berkata program merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperomosikan buah durian.

“Salah satu buah yang sedang giat kita promosikan ialah durian dan ketika ini kita dapat lihat pasaran durian dan produk yang berasaskan durian mendapat tempat di pasaran antarabangsa.

“Kita sudah mengekspot durian ke China dan setakat ini Uggah (Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah) sedang menyusun semula kegiatan pertanian di mana pusat pengumpulan hasil pertanian telah ditubuhkan di Semenggok,” katanya.

Abang Johari (tiga dari kanan) bersama para wanita Satok menyediakan sagon yang dimakan bersama durian.

Selain durian, kerajaan turut giat mempromosikan buah nenas, rambutan, dabai dan terung asam, tambah Abang Johari.

“Durian kita telah menembusi pasaran China dan terung asam ada permintaan tinggi di Singapura.

“Oleh yang demikian, industri makanan kita pada ketika ini telah meningkat,” katanya.

Program Ju-Berambeh Makan Durian hari ini dianjurkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Muhibbah Cawangan N8 Satok. — DayakDaily

Advertisement