18 acara Sukan SEA 2027 bakal diadakan di Sarawak – Abdul Karim

Abdul Karim (tiga kiri) pada program Larian Baton SUKMA dan Para SUKMA ke 21.
Advertisement

KUCHING, 22 Jun: Sarawak bakal menjadi venue kepada 18 acara pada Temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027.

Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perbincangan sudah berada di peringkat tersebut walaupun ia belum diumumkan.

“Selepas SUKMA ini, masih lagi dalam perundingan dan saya percaya ia akan jadi kenyataan.

Advertisement

“Saya boleh katakan mungkin di tahap 80 hingga 90 peratus bahawa beberapa acara akan diadakan di Sarawak (Kuching dan Samarahan) pada penganjuran Sukan SEA 2027.

“Pertama kali keluar dari Kuala Lumpur, ” kata Abdul Karim di Program Larian Baton SUKMA Para SUKMA edisi ke-21 Sarawak 2024 Samarahan hari ini.

Pada masa ini tambah beliau, kementerian masih lagi memperhalusi penganjuran Sukan SEA 2027 yang melibatkan 36 acara keseluruhan.

“Daripada jumlah tersebut, lebih kurang kita sudah bersetuju bahawa 18 acara akan diadakan di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Abdul Karim berkata SUKMA 2024 adalah merupakan SUKMA yang terbesar dalam sejarah penganjurannya.

Ia melibatkan sebanyak 37 sukan dengan 488 acara pertandingan.

Seramai 12,000 orang atlet dan pegawai yang akan turut serta dalam SUKMA 2024.

Temasya Para SUKMA pula, dijangkakan akan melibatkan seramai lebih kurang 2,000 orang atlet serta pegawai. — DayakDaily

Advertisement