KUCHING, 14 Dis: Sarawak telah merekodkan seramai 1,751 pekerja yang telah diberhentikan dan hilang pekerjaan dalam tempoh 11 bulan tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Seramai 1, 751 pekerja diberhentikan sehingga November tahun ini. Jumlah tertinggi adalah pekerja di sektor pembuatan iaitu seramai 295 orang atau 16.85 peratus,”katanya ketika merasmikan Karnival Pekerjaan Employment Insurance System (EIS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Sarawak 2019 di Mydin Vista Tunku, Petra Jaya di sini, hari ini.
Beliau yang diwakili Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, ini diikuti sektor pertanian, perhutanan dan perikanan dengan seramai 243 orang atau 13.88 peratus.
“Seterusnya sektor profesional, saintifik dan teknikal iaitu seramai 237 orang atau 13.54 peratus,” kata Ketua Menteri.
Selain itu, beliau turut mendedahkan yang kadar pengangguran di Sarawak telah meningkat sebanyak 8.7 peratus pada tahun lepas berbanding 2017.
Tambah beliau, jika dikaji dengan lebih mendalam, kebanyakkan mereka yang menganggur adalah golongan siswazah dan ini disebabkan peluang pekerjaan yang diwujudkan oleh pihak swasta di seluruh negara semakin terhad.
“Ini adalah suatu trend yang membimbangkan dan perlu dikaji secara serius oleh semua pihak bagi mencari punca yang perlu ditangani dan dicari penyelesaian. Kita perihatin dengan kesulitan yang dialami dan keresahan di kalangan belia dan siswazah yang masih menganggur,”kata beliau.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso, Dato Sri Dr Mohammed Azman Dato Aziz Mohammed berkata seramai 1,521 pekerja di Sarawak yang hilang pekerjaan tahun ini diluluskan permohonan mereka bagi diberikan EIS yang melibatkan bantuan kewangan keseluruhannya sebanyak RM3.3 juta.
“Seluruh negara pula seramai 37,269 pekerja hilang pekerjaan tahun ini dan mendaftar dibawah EIS. Manakala dari Ogos 2018 sehingga November tahun ini seramai 28,000 pekerja terbabit telah dibantu (dengan EIS) dan kembali bekerja,”katanya.
Tambahnya, Perkeso juga mengadakan karnival EIS terbabit yang disertai seramai 30 majikan dan menawarkan sebanyak 4,391 kekosongan jawatan kepada pekerja di Sarawak yang kehilangan pekerjaan.— DayakDaily