173 premis diserbu, rokok bernilai RM71,420 dirampas

Cigarettes. — DayakDaily.com file pic. //Photo: Pixabay
Advertisement

KUALA LUMPUR, Nov 8: Satu operasi penguatkuasaan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 telah dijalankan pada Okt 30 dan 31 di seluruh negara.

Penguatkuasaan dijalankan oleh pegawai diberikuasa dari pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan rokok yang didapati melanggar undang-undang dirampas. Berdasarkan risikan awal sebanyak 173 premis menjual rokok di bawah harga minimum.

Sebanyak 173 premis yang dilawati, semua premis didapati menjual rokok di bawah harga minimum semasa pemeriksaan dibuat. Sejumlah 12,441 paket rokok yang bernilai RM71,420.40 telah dirampas. Kesemua peniaga yang didapati melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 setelah izin diperolehi dari Timbalan Pendakwaraya negeri masing-masing.

Advertisement

Sebanyak 187 notis kesalahan dikeluarkan termasuk bagi kesalahan-kesalahan lain seperti penjualan rokok dalam paket terbuka (jualan rokok sebatang-sebatang).

“KKM memandang serius perbuatan melanggar undang-undang negara. Masyarakat perlu sedar bahawa undang-undang yang dikuatkuasa di bawah kementerian ini adalah bagi melindungi masyarakat daripada bahaya dan kemudaratan kepada kesihatan yang disebabkan oleh sesuatu perbuatan yang mendatangkan risiko.

“KKM akan meneruskan operasi penguatkuasaan secara berterusan sebagai langkah membendung gejala yang tidak sihat ini,” kata ketua pengarah KKM Datuk Dr Noor Hisham Abdullah melalui satu kenyataan media hari ini.

Di bawah Peraturan 8C(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT), harga minimum rokok bagi setiap paket dua puluh batang adalah RM10. Mana-mana orang yang melanggar peraturan ini adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

KKM memandang serius isu kemudahdapatan rokok yang tidak mematuhi undang-undang negara. Dewasa ini didapati penjualan rokok di bawah harga RM10 sedang berleluasa di seluruh negara meskipun undang-undang berkaitan harga minima rokok ini telah dipinda pada tahun 2015. — Bernama

Advertisement