17 usahawan dari Bario sertai Bengkel Pengurusan Kewangan

Usahawan dari Bario merakamkan gambar bersama petugas PMU.

Oleh Dean Adam

BARIO, Mac 4: Seramai 17 orang usahawan kecil dari sekitar Bario telah menyertai Bengkel Pengurusan Kewangan pada Mac 2 hingga 3 lepas.

Bengkel selama dua hari anjuran Jabatan Perdagangan, Politeknik Mukah (PMU) itu telah diadakan di Pusat Internet Bario.


PMU dalam satu kenyataan media hari ini memberitahu, bengkel itu bertujuan untuk membantu usahawan-usahawan kecil dan belia sekitar Bario dalam aspek pengurusan kewangan perniagaan.

Selain itu kata PMU, program sama juga bertujuan untuk menggalakkan penggunaan sistem MY BOS yang telah dibangunkan oleh para pensyarah PMU.

“Dalam ucapan Penghulu Robertson Bala, beliau amat berterima kasih atas keprihatinan PMU kerana mengadakan program yang belum pernah lagi diadakan di Bario.

“Dia juga mengalu-alukan agensi kerajaan serta institusi pendidikan untuk memajukan masyarakat setempat dan berharap supaya para peserta dapat mempraktikkan apa yang dipelajari sekali gus membawa perubahan serta memantapkan lagi golongan usahawan tempatan,” kata PMU, hari ini.

Beberapa orang pensyarah PMU, Kartini Che Ibrahim, Fadzli Ahmad danMohd Saiful Nizam turut berkongsi ilmu dan pengetahuan kepada para peserta.

Peserta sebelum ini tidak pernah didedahkan dengan pengurusan kewangan yang bertepatan dengan kehendak pengusahaan terkini. — DayakDaily