169 sekolah daif Sarawak siap dinaik taraf

File photo for illustration purposes. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 12 OGOS: Sebanyak 169 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh Sarawak telah siap sehingga 5 Ogos lepas.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 160 projek telah dikeluarkan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) atau Certificate of Partial Occupancy (CPO).

Katanya, sembilan projek lagi dalam proses mendapatkan CPO.


“Di samping itu, sebanyak 48 projek masih dalam pembinaan dan 74 projek dalam pelbagai fasa prabina.

“Perincian mengenai status semasa pelaksanaan setiap sekolah daif boleh diakses oleh orang awam melalui dashboard sekolah daif di portal Kementerian Pendidikan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan MP Julau Larry Sng yang bertanya status projek naik taraf sekolah daif di Sarawak.

Tambah Mah lagi, sejumlah RM538.6 juta telah dibelanjakan sehingga 5 Ogos bagi tujuan menyelesaikan kontrak kerja untuk naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif.

Menurut Mah, kerajaan telah meluluskan RM1.388 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020) untuk projek naik taraf dan pembangunan semula 291 sekolah daif di seluruh Sarawak.

Projek melibatkan kerja-kerja naik taraf atau membina bilik darjah, asrama, bangunan pentabdiran dan kemudahan lain.—DayakDaily