1,638 penerima vaksin Covid-19 fasa kedua Bahagian Bintulu

Fasa kedua vaksinasi di Dewan Sri Kenyalang, UPM Kampus Bintulu.
Advertisement

KUCHING, 25 April: Seramai 1,638 penerima terlibat dalam fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat Bahagian Bintulu bermula semalam.

Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung berkata, fasa kedua ini melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas, pesakit yang mempunyai penyakit kronik dan berisiko tinggi serta Orang Kurang Upaya (OKU).

“Untuk hari pertama kita mempunyai 600 penerima, hari kedua juga 600 dan hari ketiga 438 penerima.

Advertisement

“Jumlah ini adalah untuk fasa kedua pusingan pertama,” katanya di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Sri Kenyalang, UPM Kampus Bintulu semalam.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), PPV turut dibuka di Dewan Sukan Tatau dan Balai Raya Sebauh.

Dalam pada itu, Dr Melvin turut memberitahu pihaknya turut bersedia menerima jumlah vaksin Covid-19 sekiranya bilangan PPV ditambah lagi.

“Kita juga bersedia membuka satu lagi PPV iaitu Dewan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).

“Kita sudah bersedia sekiranya kuantiti vaksin Covid-19 yang akan sampai, kita akan buka,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement