16 penghuni tinggal sehelai sepinggang, dua rumah musnah terbakar

Pasukan bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 28: Seramai 16 penghuni yang menetap di dua buah rumah di Kampung Bintawa Tengah di sini tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah terbakar, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 12.52 tengah hari itu mengakibatkan dua buah rumah jenis struktur tidak kekal terbakar 100 peratus.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 12.54 tengah hari.

Jelas beliau, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) kemudian diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Dua pasukan bantuan dari BBP Tabuan Jaya dan BBP Padungan turut ke lokasi bagi membantu dalam operasi berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku.

Bagaimanapun katanya, para penghuni rumah berkenaan gagal menyelamatkan barangan serta dokumen penting milik mereka.

“Kebakaran tersebut terkawal pada pukul 1.47 petang.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam proses siasatan,” ujarnya. — DayakDaily