15 kerusi parlimen milik Singapura seharusnya diberikan kepada Sarawak dan Sabah — Abdul Karim

Abdul Karim (tengah) ketika ditemui di Kuching.
Advertisement

KUCHING, 14 Okt: Lima belas kerusi parlimen milik Singapura seharusnya diserahkan kepada Sarawak dan Sabah untuk mengekalkan kuota 35 peratus atau satu pertiga.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia bagi memastikan hak-hak istimewa Sarawak dan Sabah yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan terus dijaga.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia pada tahun 1963 seumpama ‘bible’, iaitu sebagai panduan bagaimana negara harus diuruskan.

Advertisement

“Selepas Singapura keluar pada tahun 1965, lima belas kerusi parlimen tersebut tidak diberikan kepada wilayah Sarawak dan Sabah, tetapi diberikan kepada Malaya.

“Ini menjadikan jumlah kerusi milik Malaya melebihi dua-pertiga dan secara teknikel mereka boleh menghapuskan apa-apa saja yang terkandung dalam Perlembagaan.

“Ini termasuk hak-hak Sarawak dan Sabah,” kata Abdul Karim ketika ditemui hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung pandangan seorang Profesor dari Majlis Profesor Negara bahawa tuntutan satu-pertiga kerusi parlimen daripada Sarawak dan Sabah tiada dalam ketetapan Perlembagaan Persekutuan.

Tambah Abdul Karim, untuk mengekalkan kuota satu-pertiga, sebarang pelaksanaan persempadanan kawasan parlimen harus mengutamakan Sarawak dan Sabah.

“Kalau kita ada satu-petiga, sekurang-kurangnya wakil-wakil rakyat daripada Sabah dan Sarawak akan memastikan hak-hak Sabah dan Sarawak itu tidak hilang,” jelas Abdul Karim. — DayakDaily

Advertisement