1,472 kes baharu dan 1,552 pulih di seluruh negara

status Kes Covid-19 pada 1 Dis, 2020

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 1 Dis: Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,472 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,467 kes tempatan dan 5 kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 67,169 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 10,495 kes,’ katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selangor pada hari ini melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 891 kes.

Ini diikuti oleh negeri Sabah sebanyak 267 kes dan Negeri Sembilan sebanyak 146 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,552 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 56,311 kes atau 83.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 120 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU) dengan 44 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan 3 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 363 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat 3 kes kematian melibatkan warganegara dilaporkan pada hari.

“Ketiga-tiga kes kematian dilaporkan di Sabah, KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 2 kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster View Kolombong di Tuaran, Sabah dan Kluster Talang-Talang di Kota Kinabalu, Sabah.- DayakDaily