14,502 warga emas nikmati kemudahan Senior Citizen Health Benefit

Fatimah dalam ucapan penggulungan Kementerian di Persidangan Dewan Undangan Sarawak.
Advertisement

KUCHING, 19 Nov: Seramai 14,502 orang telah menggunakan kemudahan Senior Citizen Health Benefit (SCHB) dengan perbelanjaan sebanyak RM1.95 juta.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, setakat 15 Nov 2024, seramai 108,002 warga emas layak mendapat faedah daripada inisiatif tersebut.

“SCHB adalah satu inisiatif baharu Kerajaan Sarawak yang dilaksanakan mulai 22 Julai 2024.

Advertisement

“Ia bagi membantu warga emas berpendapatan isi rumah RM7,000 dan ke bawah untuk mendapatkan kemudahan rawatan pesakit luar di Hospital/Klinik Panel Swasta dengan had maksimum RM500 seorang setahun,” kata Fatimah.

Beliau berkata demikian di ucapan penggulungan Kementerian di Persidangan Dewan Undangan Sarawak hari ini.

Sementara itu, Fatimah memaklumkan kerajaan telah meluluskan sebanyak 312,297 Kenyalang Gold Card (KGC) setakat 3 Nov 2024.

Katanya, seramai 302,011 pemohon telah menerima kad masing-masing.

Manakala baki 10,286 kad dalam proses untuk diserahkan kepada pejabat kebajikan daerah. — DayakDaily

Advertisement