140 kadet bomba dan guru sertai Perkhemahan Kadet Bomba Peringkat Negeri Sarawak

Khirudin (tengah) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang guru pengiring.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Mac 6: Seramai 140 orang kadet bomba dan guru pengiring daripada tujuh zon telah menyertai Perkhemahan Kadet Bomba Peringkat Negeri Sarawak di sini.

Program selama empat hari itu telah berlangsung di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak.

Pengarah JBPM Sarawak, Khirudin Drahman berkata, secara peribadinya, beliau amat berpuas hati dan bangga dengan komitmen semua pihak yang telah bersama menjayakan program perkhemahan tersebut.

Jelasnya, beliau juga berharap semua peserta bomba dapat memanfaatkan ilmu yang telah dipelajari sepanjang bergelar kadet bomba.

“Segala pengalaman yang anda lalui adalah untuk tujuan pendidikan dan pembangunan kerjaya sebagai seorang pelajar.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya dalam bidang yang diceburi. Saya percaya, kadet bomba telah didedahkan dengan pelbagai ilmu asas kebombaan sepanjang menjadi seorang ahli kadet bomba dan penyelamat untuk membolehkan kita menjadi warga yang berguna kepada agama, bangsa dan negara,” katanya semasa Majlis Penutupan Perkhemahan Kadet Bomba Peringkat Negeri di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat JBPM Sarawak di sini hari ini.

Kelihatan para kadet bomba yang menyertai program tersebut.

Khirudin menambah, antara objektif perkhemahan kadet bomba peringkat negeri diadakan adalah bagi memilih ahli pasukan kadet yang akan mewakili pasukan kadet Bomba dan Penyelamat JBPM Sarawak ke Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia peringkat kebangsaan di Bachok, Kelantan, April depan.

Selain itu katanya, ia juga bertujuan memupuk semangat setiakawan dan keharmonian dalam kalangan ahli serta mengeratkan hubungan kerjasama dan persefahaman antara ahli dan guru yang terlibat.

“Antara pertandingan yang dipertandingkan pada tahun ini adalah Kawad Operasi Berhalangan (L/P), ASPEC Challenge (L/P), Ikatan dan Simpulan Campuran, ‘Quiz Challenge’ Campuran, ‘Brain and Brawn Challenge’ (L/P),” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, peratusan kebakaran melibatkan rumah panjang merekodkan penurunan dalam tempoh dua bulan pertama ini berbanding tahun sebelumnya. — DayakDaily