135 pelajar SMK Marudi terima Anugerah Young Achievers

Benedict (kiri) dan Mohd Effendi di majlis simbolik penyerahan Anugerah Young Achievers kepada dua orang pelajar. (pic Ukas)

KUCHING, 26 Sept: Seramai 135 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marudi menerima Anugerah Young Achievers (YAA) 2021/2022 dari Miri Sarawak Oil Palms Berhad.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), anugerah tersebut diberikan kepada pelajar yang layak dalam memberi inspirasi dan motivasi kepada anak-anak muda tempatan ke arah kecemerlangan akademik.

“Ia juga merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sarawak Oil Palms bagi memfokuskan kepada motivasi, menggalak dan mempromosikan pendidikan di kalangan generasi muda di kawasan luar bandar.


“Selain itu, anugerah merupakan usaha bersepadu dalam menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak yang memerlukan,” kata UKAS.

Adalah menjadi harapan agar anugerah dapat mendorong mereka menjadi pelajar berpencapaian tinggi dan meletakkan mereka di atas landasan untuk menghargai pembelajaran berterusan.

Simbolik penyerahan telah disempurnakan Pengurus Estet Sarawak Oil Palms Benedict Baja dan disaksikan Pengetua SMK Marudi Mohd Effendi di SMK Marudi baru-baru ini.

Sebelum ini, Sarawak Oil Palms telah mengembara merentasi wilayah berbeza seperti Lambir, Niah, Suai, Marudi, Sebauh, Tatau, Sungai Asap dan Balingian untuk melawat sekolah yang mengambil bahagian.

Untuk rekod, Sarawak Oil Palms telah menganugerahkan 1,078 calon yang berjaya sejak 2016. — DayakDaily