KUCHING, Mac 7: Seramai 134 pemain tenis muda dari 24 negara akan menyertai pertandingan tenis Piala Ketua Menteri Sarawak Ke-33 ITF World Tennis Tour J1 Sarawak di bandaraya ini dari Mac 12 hingga 17 depan.
Pertandingan itu yang dianjurkan Persatuan Tenis Lawn Sarawak (SLTA) akan berlangsung di Pusat Persatuan Tenis Lawn Sarawak, Jalan Crookshank dan akan terbahagi kepada kategori perseorangan lelaki, beregu lelaki, perseorangan wanita dan beregu wanita.
Presiden SLTA, Datuk Patrick Liew berkata daripada keseluruhannya seramai 134 pemain tenis muda yang akan menyertai pertandingan itu, dan seramai 58 orang pemain tenis terlibat adalah wanita.
Jepun paling ramai menghantar pemain tenis untuk pertandingan itu iaitu seramai 23 pemain diikuti China (17 pemain), dan Australia (14 pemain) manakala Malaysia menghantar seramai 12 pemain.
“Kesemua pemain tenis terbabit dijangka tiba di bandaraya ini Jumaat depan dan mereka mendaftar menyertai pertandingan itu pada Sabtu depan dan bertanding di pusingan kelayakan pada Ahad dan Isnin depan serta pertandingan bermula Selasa depan,” kata Liew selepas Majlis Penyerahan Piala Ketua Menteri Sarawak Ke-33 ITF World Tennis Tour J1 Sarawak kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Liew mendedahkan salah seorang pemain tenis muda dari Malaysia adalah Mohd Aiman Hamden yang juga pemain tenis yang mewakili negeri ini pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016.
Liew berkata melalui pertandingan tersebut pihaknya berharap dapat membangunkan Aiman sebagai salah seorang pemain tenis terbaik di Malaysia seperti seorang lagi anak Sarawak, Mohd Assri Marzuki.
Katanya ketika ini Aiman sedang berlatih di Kuala Lumpur dan sebelum ini SLTA telah menghantarnya ke Amerika Syarikat selama tiga bulan tahun lepas. Pertandingan terbabit penting disertainya kerana ramai pemain tenis terkemuka dunia pernah menyertai pertandingan itu di Sarawak ketika masih muda sebelum ini. — DayakDaily