133 individu terima Pingat dan Darjah Kebesaran Sarawak

Taib (duduk sembilan dari kanan) bergambar bersama sebahagian penerima Darjah-darjah Kebesaran Negeri Sarawak.

KUCHING, Sept 6: Seramai 133 penerima telah dikurniakan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak oleh Tuan yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Dewan Besar, Astana Negeri di sini hari ini.

Mendahului senarai penerima Pegawai Bintang Sarawak (PBS) ialah Dr Ong Tiang Kiam, Ketua Jabatan Kardiologi, Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, Kota Samarahan.

Turut menerima darjah kebesaran yang sama ialah Fenny Nuli, Timbalan Ketua Misi di Kedutaan Malaysia dan Misi Malaysia ke Kesatuan Eropah.


Pegawai Bintang Kenyalang (PBK) menyaksikan lapan orang penerima manakala Pingat Perkhidmatan Bakti (PPB) seramai 25 orang penerima.

Sementara itu, seramai sembilan orang telah menerima Ahli Bintang Sarawak (ABS) dan 23 orang menerima Ahli Bintang Kenyalang (ABK).

Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) menyaksikan seramai 28 orang penerima manakala Bentara Bintang Sarawak (BBS) seramai 38 orang penerima.

Turut hadir sama di istiadat pengurniaan tersebut ialah isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Dato Gerawat Gala dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datu Jaul Samion. — DayakDaily