132 orang penduduk Kg Selampit mendaftar sebagai ahli ‘Friend of River’

Henry (lima dari kanan) serta rombongan melepaskan 15,000 anak ikan ke sungai. Foto: Ukas

KUCHING, 18 Julai: Seramai 132 orang penduduk Kampung Selampit di Lundu telah mendaftar sebagai ahli ‘Friend of River’.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Dato Henry Harry Jinep berkata, ‘Friend Of River’ menjadi mata dan telinga kepada agensi kerajaan untuk melaporkan sebarang kejadian berkaitan keselamatan dan kebersihan sungai di kawasan mereka.

“Menyedari kepentingan pengangkutan sungai, kerajaan negeri memberi perhatian kepada aspek keselamatannya khususnya semasa musim perayaan.

“Malah, pada hari ini, seramai 132 orang penduduk Kampung Selampit telah mendaftar sebagai ahli ‘Friend of River’,” katanya sebagai memetik Laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).

Beliau berkata demikian semasa majlis penangguhan Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai di Kampung Selampit pada Sabtu (16 Julai).

‘Friend of River’ merupakan salah satu landasan kerjasama antara masyarakat setempat bersama Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).

Sementara itu Henry memberitahu, latihan oleh Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sarawak kepada para pengendali bot dan perahu juga diberi keutamaan.

Terdahulu, beliau yang hadir bersama rombongan menggunakan bot ke lokasi program telah melepaskan sebanyak 15,000 ekor anak ikan ke sungai di kampung tersebut. —DayakDaily