127 peninju bertarung dalam Kejohanan Tinju Peringkat Divisyen Pertama Infantri Malaysia 2018

Suasana meriah Kejohanan Tinju Peringkat Divisyen Pertama Infantri Malaysia 2018 di Dataran Kem Muara Tuang, semalam (Nov 19, 2018).

KOTA SAMARAHAN, Nov 20: Kejohanan Tinju Peringkat Divisyen Pertama Infantri Malaysia 2018 akan menyaksikan keseluruhannya seramai 127 anggota tentera di Sarawak turun bertarung di gelanggang tinju di Dataran Kem Muara Tuang yang bermula semalam dan berlangsung sehingga Nov 26 depan.

Petinju terlibat terdiri daripada seramai 13 pegawai dan 114 anggota lain-lain pangkat bertarung dalam 11 kategori.

Panglima Brigade Ke 31 Infantri, Brigadier Jeneral Dato Johnny Lim Eng Seng selaku penaung kejohanan terbabit berkata kejohanan dua tahun sekali terbabit adalah bagi mencari petinju berbakat bagi mewakili pasukan Divisyen Pertama Infantri ke Kejohanan Tinju Tentera Darat yang akan diadakan tahun hadapan.

“Saya juga amat berpuas hati dengan bilangan petinju dari Divisyen Pertama Infantri yang menyertai kejohanan ini yang keseluruhannya seramai 127 orang dan lebih ramai dari 2016 serta berharap pertinju berpotensi dapat dikenalpasti dikalangan mereka bagi mewakili Divisyen Pertama Infantri ke Kejohanan Tinju Tentera Darat 2019,” katanya selepas merasmikan kejohanan itu yang bermula semalam.

Lim berkata Divisyen Pertama Infantri telah mendapat tempat ketiga Kejohanan Tinju Tentera Darat dua tahun lepas dan sehubungan itu tahun hadapan pihaknya mensasarkan menjadi juara dan akan pertama kali membawa pulang Piala Formasi Tinju Tentera Darat ke Sarawak.

“Kami tidak melihat sasaran menjadi johan Kejohanan Tinju Tentera Darat tahun hadapan sebagai mustahil sekiranya membuat persiapan rapi dengan mengenalpasti petinju berbakat dan memberikan latihan sebaiknya kepada mereka,” katanya.

Lim (empat dari kanan) dan pegawai tentera darat lain menyaksikan Kejohanan Tinju Peringkat Divisyen Pertama Infantri Malaysia 2018 di Dataran Kem Muara Tuang, semalam (Nov 19, 2018).

Sehubungan itu, pihaknya berterima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Sarawak dan Persatuan Tinju Malaysia kerana memberikan sokongan dan bantuan bagi penganjuran Kejohanan Tinju Peringkat Divisyen Pertama Infantri Malaysia 2018 serta mempelawa orang ramai dan peminat tinju dari luar kem terbabit menyaksikan kejohanan itu setiap malam sehingga Nov 26 depan.

“Tinju adalah satu sukan yang sinonim dengan Angkatan Tentera Malaysia dan merupakan sukan teras bagi tentera darat. Dahulu pertandingan tinju juga diadakan di peringkat batalion bagi disertai unit infantri serta ianya satu sukan yang dapat memupuk sikap kepahlawanan,” katanya serta meminta semua petinju kejohanan terbabit berjuang dengan penuh semangat kesukanan dan mempamerkan sikap kepahlawanan mereka. — DayakDaily