12 laporan cabul baru diterima, guru disyaki cabul 13 mangsa

Suspek (tengah) direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

MIRI, April 26: Polis menerima 12 laporan baru terhadap seorang guru yang disyaki mencabul 12 murid di sebuah sekolah rendah di Batu Niah selepas suspek diberkas pada Selasa lalu.

Perbuatan durjana suspek itu terbongkar susulan satu laporan polis yang diterima oleh seorang wanita yang mendakwa anaknya yang berusia lapan tahun kini telah dicabul sejak Tahun Satu lagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, seramai 12 ibu bapa murid di sekolah rendah sama tampil membuat laporan polis dan mendakwa anak mereka turut menjadi mangsa cabul guru berusia 40 tahun itu antara pukul 5.40 petang hingga 8.15 malam tadi.

Jelas beliau, setakat ini terdapat 13 mangsa yang berusia antara lapan hingga 11 tahun disyaki dicabul oleh suspek sama.

“Berdasarkan laporan diterima, ibu bapa kesemua mangsa mendakwa kejadian itu berlaku ketika anak-anak mereka masih dalam Darjah Satu dan Dua.

“Tidak cukup dengan itu, suspek turut didakwa telah merakam gambar bahagian badan semua mangsa dengan menggunakan kamera telefon bimbitnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dev menambah, polis juga telah merampas telefon bimbit suspek untuk analisis forensik.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga Mei 1 depan untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 14 (a) dan 16 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya lagi.

DayakDaily semalam melaporkan seorang guru yang disyaki telah mencabul murid perempuannya di sebuah sekolah rendah di Batu Niah, di sini ditahan polis.

Suspek berusia 40 tahun itu diberkas pada pukul 3.30 petang susulan laporan polis yang dibuat ibu mangsa mendakwa guru tersebut mencabul anaknya sejak tahun lalu. — DayakDaily