KUCHING, Dis 6: Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) telah mengadakan konvokesyen ke tiganya yang keseluruhannya menyaksikan keseluruhannya seramai 1,189 graduan pusat itu menerima sijil latihan kemahiran mereka
di Penview Convention Centre Demak, Jalan Bako, di sini, semalam.
Graduan terbabit menerima sijil latihan kemahiran dalam pelbagai bidang industri yang berkaitan di negeri ini termasuk minyak dan gas, pelabuhan dan elektrikal, pembinaan, tekstil, hospitaliti dan teknologi maklumat dengan sijil terbabit disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri,Tan Sri Datuk Amar
Mohamad Morshidi Abdul Ghani yang juga Pengerusi CENTEXS.
Seramai 12 graduan pusat itu telah diumumkan menerima anugerah pelajar terbaik dan menerima sijil latihan kecemerlangan bidang masing masing iaitu teknologi kimpalan, pemeriksa kimpalan 3.0, kru pembinaan minyak dan gas, rigging dan slinging, juruletrik plus, mechatronik (peralatan pelabuhan), perancah, bekerja di ketinggian, teknologi fesyen, operasi pelayan jamuan, diploma profesional dalam rekabentuk rambut dan solekan serta keusahawanan techno.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif CENTEXS, Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman berkata pusat kemahiran terbabit ketika ini ada menawarkan sebanyak 20 program latihan teknikal kepada belia di negeri ini dan sekitar 80 peratus graduannya akan mendapat pekerjaan sejurus tamat latihan mereka.
Bagi memudahkan lagi graduan dari pusat mendapatkan pekerjaan atau memudahkan meningkatkan lagi kemahiran mereka, CENTEXS pada konvokesyen terbabit akan mula mengeluarkan buku pasport oren kepada kalangan graduannya.
“Buku pasport oren ini bagi kamu (graduan CENTEXS) merekodkan bilangan jam bekerja mengunakan latihan kemahiran yang dipelajari, buku ini akan penting bagi lihat sesiapa sahaja yang mahu mengetahui jumlah jam itu,” katanya, dengan hanya seramai 500 graduan akan diberikan buku itu pada majlis konvokesyen terbabit.
Beliau berkata ketika ini sijil kemahiran dari CENTEXS juga diiktiraf banyak industri dan agensi termasuk Petronas, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Lembaga Pelabuhan Kuching, Majlis Minyak dan Gas Malaysia dan Open University yang juga memudahkan graduan terbabit mendapat pekerjaan.
Disamping itu, Syeed juga berkata CENTEXS juga sudah menandatangani kerjasama dengan Huawei bagi membangunkan latihan digital dan makmal digital di negeri ini bagi menyediakan belia tempatan kepada kemahiran dunia digital.
“CENTEXS juga akan menjadi rakan Latihan Pakar Bertauliah Huawei Wilayah Asean yang dijangkakan dicapai sekitar Mei 2018 dan bukan sahaja akan melatih penduduk tempatan di Sarawak malahan bagi rantau Asean,”
katanya.
Menurutnya, program latihan digital yang CENTEXS akan tawarkan dengan kerjasama Huawei itu dijangka akan membantu negeri ini dalam membangunkan kabel dasar laut dan fibre optik, rumah digital atau bandar digital, e-perdagangan, keselamatan siber dan analisi data besar di Sarawak. — DayakDaily