115 pelajar luar bandar menuntut di Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak

Dr Annuar Rapaee

KUCHING, 22 Nov: Seramai 115 pelajar kini sedang belajar di Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSIS) di Petra Jaya, kata Timbalan Menteri Pendidikan Dan Inovasi Datuk Dr Annuar Rapaee.

Menurut beliau, kriteria penting bagi kemasukan ke sekolah tersebut ialah pemohon hendaklah anak Sarawak yang datang dari luar bandar.

“Kriteria kedua ialah sekurang-kurangnya memperolehi band 4 di setiap mata pelajaran di pentafsiran bilik darjah iaitu darjah enam di peringkat sekolah rendah.


“Ketiga, pemohon mesti lulus peperiksaan kelayakan yang dikenakan sebelum mereka diterima masuk ke sekolah,” katanya.

Dr Annuar berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjawab soalan Adun Tebedu Simon Sinang hari ini.

Tambah beliau, YSIS menerima sejumlah 1,261 pemohonan untuk memasuki sekolah tersebut, tetapi yang datang untuk menduduki peperiksaan ialah 761 orang.

Katanya, seramai 200 pelajar lulus dan ditawarkan untuk belajar di YSIS namun setakat ini 115 pelajar sedang belajar di sekolah tersebut.

Sementara itu, Dr Annuar berkata terdapat 2 orang pelajar dari kawasan DUN Tebedu menuntut di YSIS.

Beliau juga memaklumkan bahawa jumlah peruntukan bagi tujuan pendidikan yang telah diagihkan di kawasan DUN Tebedu adalah sebanyak RM9.59 juta.

“Jumlah ini tidak termasuk projek bina baharu SK Kujang Mawang dan naik taraf SMK Tebakang yang masih dalam proses perolehan,” ujar Dr Annuar. — DayakDaily