11 pengendali bas berhenti-henti terima dana bantuan jumlah RM5.6 juta

Datuk Lee (empat dari kanan) bersama pengendali bas berhenti-henti yang layak menerima DBSPB selepas menyaksikan majlis MoU pada Khamis

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 18 Mac: Sebanyak 11 pengendali bas berhenti-henti seluruh Sarawak yang layak telah menerima dana bantuan berjumlah RM5.6 juta dari Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2021-2022, kata Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin.

Katanya, pemberian ‘Dana Bantuan Sementara Pengusaha Bas Berhenti-henti’ (DBSPB) itu bertujuan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan bas berhenti-henti, selain menangani kerugian dalam operasi harian pengendali bas henti-henti bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan tersebut.

Lee berkata demikian pada satu sidang media hari ini selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian (MoU) Dana Bantuan Sementara Pengusaha Bas Berhenti-henti (DBSPB) di komplek Islam Miri di sini.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Lambir Ripin Lamat, Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak Razami Mohamad Jamali serta Ahli Lembaga Pengarah LPKP.

11 syarikat pengendali yang layak menerima dana tersebut adalah Petra Jaya Transport (S) Sdn Bhd, Biaramas Express Sdn Bhd, Bau Transport Company Sdn Bhd, City Public Link Bus Company Berhad, Rejang Transport Sdn Bhd, Sungei Merah Bus Berhad, Teku Road Bus Co Sdn Bhd, Miri Transport Co Sdn Bhd, Miri City Bus Sdn Bhd dan Miri Belait Transport Company Sdn Bhd.

“DBSPB yang dulunya dikenali sebagai Interim Stage Bus Support Fund (ISBF) telah diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pengankutan Awam Darat (SPAD) pada tahun 2012 dengan penambahbaikan yang telah dibuat melalui pemeteraian perjanjian antara kerajaan persekutuan dengan syarikat pengusaha bas berhenti-henti,” jelas Lee.

Lee yakin DBSPB mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan bas berhenti-henti dan secara langsung mengembalikan persepsi penumpang terhadap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam Sarawak.

“DBSPB yang dilaksanakan ini merupakan pelengkap program ‘tambang Bas RM1 yang dijalankan oleh kerajaan negeri Sarawak,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pengangkutannya telah melaksanakan program tambang bas RM1 (RM1 bus flat rate fare) sehala di bawah subsidi pengangkutan awam di tiga buah daerah utama iaitu Kuching, Sibu dan Miri.

Program ini melibatkan 50 laluan seluruh Sarawak, di mana 18 di Kuching dan Sibu, manakala 14 laluan di Miri.

Perlaksanaan programe ini telah bermula pada Mei sehingga Disember tahun lepas dengan jumlah kumulatif pengguna bas berhenti-henti adalah 1.22 juta.

Lee (duduk tengah) pada sidang media.

Pada tempoh masa yang sama, kerajaan Sarawak telah membelanjakan sebanyak RM5.2 juta untuk pembayaran subsidi kepada 12 syarikat pengendali bas yang terlibat.

“Oleh sebab sambutan yang amat mengalakkan, kerajaan negeri telah melanjutkan program subsidi tersebut pada tahun ini yang melibatkan jumlah subsidi sebanyak RM751,530.00,” jelas Lee.

Pada bulan Januari 2021, pengguna bas berhenti-henti adalah seramai 186,512 orang.

“Secara keseluruhannya, jumlah kumulatif pengguna bas berhenti-henti bagi tempoh sembilan bulan mulai Mei 2020 sehingga Januari 2021 adalah 1.418 juta melibatkan jumlah subsidi sebanyak RM5.99 juta,” katanya. — DayakDaily