11 Pati termasuk seorang kanak-kanak ditangkap di Tebedu, diusir balik

Kesemua Pati yang diusir balik ke negara asal menerusi pintu ICQS Tebedu.
Advertisement

KUCHING, 2 Mac: Sembilan lelaki, dua wanita bersama seorang kanak kanak warga Indonesia diusir keluar pulang ke negara asal selepas ditangkap di kawasan Tebedu, Serian hari ini.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak SAC Mancha Ata berkata, ketika itu anggotanya melakukan pemeriksaan ke atas sebuah rumah kongsi yang disyaki dijadikan tempat transit untuk masuk ke Malaysia menggunakan jalan yang tidak diwartakan.

“Kesemua mereka disahkan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki Malaysia.

Advertisement

“Tindakan pengusiran dilakukan ke atas kesemua individu tersebut untuk berpatah balik ke negara asal mereka Indonesia melalui Pintu Utama Sempadan Malaysia-Indonesia ICQS Tebedu, Serian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengusiran dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Sek 6 (1) Akta Imigresen 1959 (Akta 155).

Tambah Mancha, sepanjang pengoperasian Op Benteng Covid bermula dari 1 Januari 2021 hingga 02 Mac 2021, Briged PGA Sarawak telah mencatatkan kejayaan bernilai RM 622,180.00.

Sebanyak 39 kes direkodkan yang melibatkan jumlah tangkapan seramai 65 orang termasuk 16 orang tekong serta pengusiran seramai 110 orang (92 lelaki dan 18 perempuan) Pati warganegara Indonesia. — DayakDaily

Advertisement