SRI AMAN, 2 Jan: Seramai 11 individu dikejarkan ke Hospital Betong untuk mendapatkan rawatan selepas terlibat kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Betong-Sri Aman hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 3.45 petang dan beberapa anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.
Jelasnya, setiba di lokasi kejadian didapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Alza, Ford Ranger dan sebuah Perodua Myvi.
“Anggota bomba kemudian mengeluarkan seorang mangsa dari dalam Perodua Alza, manakala enam lagi mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam dan keluar sendiri.
“Seterusnya, empat daripada mangsa menggunakan EMRS Bomba, empat lagi mangsa menggunakan Ambulan Hospital Skrang dan tiga lagi mangsa menggunakan kenderaan awam dikejarkan ke Hospital Betong untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Difahamkan kesemua mangsa berusia lingkungan 2 hingga 40 tahun.
Pasukan bomba kemudian membersihkan kawasan kemalangan sebelum berangkat pulang ke balai.
Anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Sri Aman turut hadir di lokasi kejadian menjalankan siasatan. ― DayakDaily