11 MP blok bebas ulangi sokongan terhadap Tun Dr Mahathir sebagai PM

Tun Dr Mahathir Mohamad

KUCHING, FEB 25: Sebelas MP dari blok bebas hari ini mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri untuk sepenuh penggal Parlimen Ke-14.

Menerusi kenyataan media bersama yang dikeluarkan sebentar tadi, sokongan tersebut menurut mereka telah ditegaskan dalam mesyuarat tertutup parti dan secara terbuka sebelum ini.

“Tindakan yang kami ambil adalah berpaksikan aspirasi rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang stabil, perpaduan yang kukuh dan penumpuan kepada usaha untuk memulih serta menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Ini pada keyakinan kami merupakan mandat sebenar yang telah diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kumpulan mereka adalah terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan wilayah yang mengutamakan persefahaman antara kaum, agama dan kebudayaan.

Semalam, mereka telah mengisytiharkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk blok bebas di Dewan Rakyat.

Blok bebas ini dianggotai bekas Timbalan Presiden PKR yang juga MP Gombak Datuk Seri Mohammad Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin( MP Ampang), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr SantharaKumar(Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Difahamkam ketika ini, semua MP blok bebas ini sedang menunggu giliran untuk menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk ditemubual. —DayakDaily.