1,097 usahawan kraf Sarawak terima bantuan PEMULIH

Kraftangan Malaysia logo

KUCHING, 21 Ogos: Seramai 1,097 orang usahawan kraf Sarawak menerima bantuan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Kraftangan Malaysia melalui kenyataan hari ini berkata, insentif ini bertujuan membantu memulihkan perniagaan usahawan kraf bagi merancakkan semula industri kraf negara.

“Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) sentiasa menyokong perusahaan kraf yang dijalankan serta penglibatan usahawan dan komuniti kraf dalam industri agar terus cemerlang,” katanya.


Dalam pada itu, seramai 26 orang wakil usahawan hadir menerima bantuan pada hari ini yang disampaikan Menteri MOTAC Dato Sri Nancy Shukri di Rumah Rehat Sri Simunjan.

Insentif PEMULIH Industri Kraf merupakan bantuan kewangan berjumlah RM1,500 bermula pada April 2022 dan akan memberi manfaat kepada 6,000 orang usahawan kraf di seluruh negara.

Selain itu, inisiatif Kraftangan Malaysia iaitu ‘Cakna Kraf’ melalui program Studio Kraf Kreatif, Pusat Kecemerlangan Kraf di Institut Kraf Negara (IKN) diperluas dengan pemberian kit mewarna Batik Canting kepada 200 orang pelajar dari 2 buah sekolah di daerah Simunjan.

Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa Simunjan dan Sekolah Abang Man Simunjan.

“Pemberian kit ini bertujuan untuk memberi pengetahuan dan pendedahan berkaitan teknik, bahan dan proses asas dalam penghasilan produk kraf tempatan di peringkat akar umbi khususnya kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah.

“Adalah diharapkan pelajar-pelajar ini akan mencintai produk kraf Malaysia dan seterusnya menjadi pelapis dalam pembangunan industri kraf di masa akan datang,” menurut kenyataan itu.

MOTAC berharap dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Kraftangan Malaysia ini, akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomikomuniti kraf tempatan dan seterusnya membantu memperkasa ekosistem industri pelancongan. — DayakDaily