10,458 polis Sarawak serta pasangan mengundi awal esok

Kelihatan anggota polis mengundi awal di IPK Sarawak dalam foto fail ini.
Advertisement

KUCHING, 13 Dis: Seramai 10,458 anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan akan mengundi awal di seluruh negeri pada esok.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata sebanyak 85 pusat mengundi awal dengan 111 saluran disediakan untuk mengundi awal iaitu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), pusat-pusat sumber, bilik rekreasi, bilik mesyuarat dan sekolah.

Manakala bagi undi pos PDRM, seramai 1,200 anggota telah memohon dan 708 permohonan telan diluluskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Advertisement

“Oleh itu, 492 permohonan yang tidak diluluskan akan bersama mengundi awal pada 14 Disember (esok) ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya juga, pecahan untuk undi pos adalah Sarawak seramai 415 orang, Sabah 85 orang dan Semenanjung Malaysia 208 orang.

“Undi pos adalah bagi anggota yang bertugas di lain-lain kontinjen tetapi masih berdaftar di DUN Sarawak.

“Selain itu, ia juga untuk anggota yang bertugas di daerah-daerah yang jauh dari pusat mereka mengundi,” kata Mancha.

Tambahnya juga, seramai 5,522 anggota polis akan bertugas pada hari mengundi awal esok.

“Ini untuk memastikan keselamatan dan perjalanan hari mengundi awal berjalan lancar dan teratur.

“Keselamatan tempat mengundi juga dijamin selamat dan terkawal,” katanya.

Selain itu, Mancha turut memaklumkan sebanyak enam kompaun telah dikeluarkan berjumlah RM31,000 ke atas kesalahan melanggar SOP sepanjang tempoh Pilihan Raya ke-12 (PRN-12) ini.

Kompaun-kompaun tersebut dikeluarkan di bawah Akta 342 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Terdapat juga sebanyak 1,837 permohonan permit berkempen oleh parti-parti bertanding telah diluluskan bagi tempoh 6 hingga 12 Disember di seluruh negeri. — DayakDaily

Advertisement