Teliti semula SOP mengenai kematian dan pengebumian”

Sai Malaka (file pic)

KUCHING, 9 Feb: Ahli Majlis Tertinggi Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) merangkap ketua cabang PBDS Katibas, Pegawai Warran 1 (B) Sai Malaka mencadangkan agar Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) meneliti semula prosedur operasi ‘standard’ (SOP) mengenai kematian dan pengembumian.

Beliau yang juga merupakan Bendahari Agung PBDS menyatakan kerisauan terhadap tahap pematuhi SOP oleh pihak keluarga yang meninggal.

“Sukar untuk kita katakan bahawa SOP dipatuhi. Oleh itu, sewaktu “nyenggaie”, kehadiran pihak berkuasa dirasakan amat perlu. Melalui ini, SOP bukan sahaja dipatuhi malahan diperkuatkuasakan,” kata Sai dalam satu kenyataan hari ini.


Julius Enchana

Setiausaha Agung PBDS, Julius Enchana turut menyatakan perkara yang sama.

Bagi Julius, sekiranya kematian berlaku di rumah si mati, maka ahli keluarga perlu mendapatkan surat pengesahan kematian, untuk tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan laporan kematian seharusnya dilakukan di balai polis dan dengan ini pihak polis boleh mengambil tindakan selanjutnya sepertimana yang dicadangkan oleh Sai.

“Tahap pematuhan SOP menjadi keraguan kerana masih ada kes yang melibatkan upacara ini. Selain itu, pihak ahli keluarga juga harus bersikap telus dan sekiranya ada ahli keluarga dalam tempoh kuarantin tolonglah asingkan mereka. Kita jaga kita, jangan mendatangkan masalah kepada ramai pihak,” kata Julius. — DayakDaily