10,000 peluang pekerjaan ditawarkan di TRACE 2019

Siti Raudzah (tujuh dari kiri) dan Gan (tujuh dari kanan) bersama 10 wakil syarikat di Sarawak yang menerima Anugerah Majikan Pilihan JobStreet.com 2019 di CAIS, kampus Unimas.

KOTA SAMARAHAN, April 9: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) akan menganjurkan program Pameran Kerjaya dan Pengambilan Bakat (TRACE) 2019 yang menawarkan sebanyak 10,000 peluang pekerjaan di kampus Unimas, di sini, mulai esok sehingga April 11.

Pengarah Kanan Pusat Pembangunan Pelajar Unimas, Professor Dr Siti Raudzah Ghazali berkata TRACE 2019 akan berlangsung di Dewan Arena Gemilang, Detar Putra Unimas dengan sebanyak 100 syarikat akan menyertai bagi mencari pekerja dari kalangan graduan dan lepasan sekolah.

“TRACE 2019 adalah acara tahunan Unimas dan akan kali keenam diadakan tahun ini. Program terbabit selama dua hari bermula esok akan disertai sebanyak 100 syarikat dan akan ada sebanyak 10,000 peluang pekerjaan bagi graduan termasuk yang memiliki diploma dan juga lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Pesta Kerjaya Atas Talian Sarawak sempena TRACE 2019 dan Anugerah Majikan Pilihan JobStreet.com 2019 di Pusat Perkhidmatan Maklumat Akademik (CAIS),kampus Unimas, di sini, hari ini.


Di majlis tersebut beliau bersama Pengurus Negara JobStreet.com Malaysia Gan Bock Herm menyampaikan Anugerah Majikan Pilihan JobStreet.com 2019 kepada sebanyak 10 syarikat di Sarawak iaitu AirAsia, Cahya Mata Sarawak, Maybank, Naim Holdings Berhad, Petronas, Petros, Sarawak Energy, Shell, Shin Yang Group Of Companies dan Sime Darby Industrial.

Siti Raudzah berkata suku dari syarikat yang akan menyertai TRACE 2019 adalah dari Sarawak dan kebanyakkan menyertai program Latihan Profesional Dan Pendidikan Bagi Perkembangan Usahawan (PROTEGE) yang berbentuk latihan kerja bagi graduan dibawah Kementerian Pembangunan Usahawan.

“Manakala syarikat lain adalah dari Semenanjung dan juga ada dari luar negara seperti London Stock Exchange yang berpangkalan di London,” katanya.

Beliau berkata TRACE 2019 dianjurkan Unimas dengan PROTEGE dan JobStreet.com Malaysia serta pihaknya mempelawa graduan baru terutama dari Unimas dan lepasan SPM untuk mengunjunginya bagi mencari pekerjaan.

Katanya tahun lepas seramai 10,000 orang telah mengunjungi program tersebut manakala seramai 25,000 mengunjunginya pada 2017. Beliau berharap bilangan pengunjung akan bertambah tahun ini. — DayakDaily