100 unit rumah Skim Pembesaran Kampung bakal dibina di Kampung Sambir

Abang Johari ketika merasmikan Skim Pembesaran Kampung di Kampung Sambir, Asajaya.

Oleh Cornelius Kadir Edison

ASAJAYA, 27 Mac : Sebanyak 100 unit rumah bakal dibina di Kampung Sambir, di sini di bawah program Skim Pembesaran Kampung.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, jumlah itu tambahan 50 unit rumah lagi daripada rancangan asal untuk membina 50 unit rumah di kampung terbabit.

“Pada mulanya kita hendak melihat sambutan orang kampung dengan membina 50 unit rumah dan apabila sambutan amat baik, jadi saya bersetuju untuk tambah 50 unit lagi kepada 100 unit,” katanya ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Skim Pembesaran Kampung Sambir di sini hari ini.

Beliau berkata, kos bagi menyediakan semua kemudahan infrastruktur termasuk jalan raya, lampu jalan dan saliran perparitan serta kerja-kerja menimbus tanah bagi satu lot rumah di kampung berkenaan menelan belanja sehingga mencecah RM193,000.

Bagaimanapun kata beliau, kesemua kos terbabit akan ditanggung oleh kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS), manakala penduduk kampung yang terlibat hanya akan membayar kos untuk membina unit rumah tersebut.

“Rumah ini adalah rumah jenis dua tingkat dan bertiang dengan kos sebenar untuk membina rumah ini adalah sebanyak RM180,000 bagi seunit rumah.

“Jadi kalau dari sudut harganya RM193,000 untuk satu lot tanah campur unit rumah, RM180,000 jadi RM373,000 sekali dengan keluasan tanah sebanyak 10 poin,” katanya.

Abang Johari berkata, walaupun kos berkenaan mencecah sehingga RM373,000 namun penduduk yang terlibat hanya perlu mebayar kos sebanyak RM120,000 sahaja bagi memiliki lot tanah serta rumah terbabit.

Katanya, pinjaman kewangan bagi membeli rumah tersebut turut disediakan oleh kerajaan kepada penduduk Kampung Sambir menerusi institusi kewangan milik kerajaan negeri, Mutiara Mortgage.

“Mungkin anda semua bayar RM100 lebih sebulan mengikut umur dan berapa lama pinjaman tersebut tapi nilai harta dalam tangan anda semua ialah RM373,000,” katanya.

Tambah Abang Johari, skim serupa juga akan diperluas di beberapa kawasan termasuk di Kampung Tambirat, kawasan Muara Tuang serta di kawasan Sebuyau.

Katanya, apabila semua projek tersebut siap beberapa tahun akan datang, ia akan memberikan lanskap baharu kepada kawasan persisir dengan memiliki skim perumahan yang termoden. — DayakDaily