100 peserta hadir Program Pembangunan Produk Usahawan anjuran Mintred

Pemangku Setiausaha Tetap Mintred Dzulkornain Masron (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada peserta program.
Advertisement

KUCHING, 22 Ogos: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (Mintred) hari ini menganjurkan Program Pembangunan Produk Usahawan Original Equipment Manufacturing (OEM) berasaskan produk kecantikan.

Mintred menerusi satu kenyataan berkata, ia bertujuan membantu usahawan Sarawak untuk menghasilkan produk sendiri menggunakan kilang OEM.

“Ini dilaksanakan tanpa mengeluarkan modal yang besar, menjimatkan kos, memberikan pulangan keuntungan yang kompetitif serta mampu bersaing dengan produk sedia ada di pasaran,” kata Mintred.

Advertisement

Program yang berlangsung di Dewan Seminar Pusaka dihadiri seramai 100 orang peserta.

Menurut Mintred, program ini dilaksanakan menerusi dua peringkat, iaitu pertama para peserta diberikan taklimat mengenai konsep asas OEM yang bertujuan untuk memilih peserta yang benar-benar berminat dan berpotensi dalam membangunkan produk kecantikan yang diusahakan.

Manakala peringkat kedua pula, mereka yang berminat dan berpotensi akan dibantu untuk menghasil dan mengembangkan produk sehingga ke tahap mendapatkan sijil-sijil berkaitan.

“Mereka juga akan dilatih dalam mempromosi dan memasarkan produk mereka selama tiga hingga enam bulan oleh Mintred,” menurut kenyataan itu.

Bagi membantu para usahawan yang berpotensi untuk terus menceburi bidang ini dan keusahawanan lain, Mintred menyediakan geran menerusi program seperti Graduan Ke Arah Keusahawanan (Gerak) dan Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV).

“Selain itu, usahawan boleh memohon skim pinjaman mudah iaitu Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana Sarawak (SPIKS) yang menawarkan jumlah pinjaman maksimum sehingga RM250,000.

“Manakala Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) menawarkan pinjaman mudah sehingga RM50,000 untuk usahawan B40, mikro dan kecil.

“Kedua-dua pinjaman mudah ini menawarkan moratorium selama enam bulan dan tidak dikenakan faedah untuk tempoh empat puluh dua bulan,” kata Mintred.-DayakDaily

Advertisement