100 orang gelandangan diselamatkan sejak dua tahun lepas

Fatimah (dua dari kanan) menerima buku kisah pesakit mental yang diberikan kepadanya ketika mengadakan lawatan rasmi ke Half Way Home di Banglo Lada.
Advertisement

KUCHING, Julai 4: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak sejak dua tahun lepas sudah mengambil dan menyelamatkan keseluruhan seramai 100 orang gelandangan dari kaki lima bandar besar seluruh negeri ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah
berkata seramai 60 gelandangan tersebut diselamatkan sepanjang 2017 manakala seramai 40 gelangangan terbabit diselamatkan sepanjang 2016 melalui operasi bersepadu menyelamatkan gelandangan diadakan pihaknya bersama jabatan dan agensi lain.

“Kebanyakkan gelandangan terbabit adalah mereka yang berkunjung ke bandar besar bagi mencari pekerjaan tetapi tiada menyediakan tempat berteduh dan tidak mempunyai wang bagi menyewa bilik hotel atau rumah tumpang serta akhirnya terpaksa menjadi gelandangan yang tidur di kaki lima,” katanya ketika melawat ke rumah Half Way Home di Banglo Lada, Jalan Stakan, Kota Sentosa, di sini, hari ini.

Advertisement

Half Way Home adalah tempat bagi membantu pesakit mental yang sudah hampir sembuh yang dikendalikan Persatuan Kesihatan Mental Sarawak (PKMS). Lawatan tersebut juga disertai Penasihat PKMS, Dato Wee Hong Seng dan Timbalan Pengerusi PKMS, Dr Lau Kim Kah.

Half Way Home di Banglo Lada di Jalan Stakan, Kota Sentosa.

Fatimah berkata sebab lain mereka menjadi gelandangan adalah kerana dibuang keluarga atau menghadapi masalah kekeluargaan, menghadapi masalah mental, terbabit penyalahgunaan dadah, ketagih minuman keras dan kerana keinginan untuk hidup bebas.

Daripada keseluruhan 60 orang gelandangan diselamatkan pada 2017, seramai 15 orang gelandangan itu diselamatkan di Sibu menakala Miri (7), Kuching (5), Bintulu (22), Betong (1), Sarikei (8) dan Sri Aman (2).

Daripada keseluruhan 40 gelandangan diselamatkan pada 2016, seramai 16 orang gelandangan diselamatkan di Sibu menakala Miri (13), Kuching (7) dan Bintulu (4).

“Kami juga mendapati ada gelandangan terbabit merupakan bekas pesakit mental di Hospital Sentosa di sini, disebabkan keluarga tidak berupaya menjaga mereka, pesakit tersebut keluar dari rumah dan tidur di kaki lima,” katanya.

Fatimah berkata kebanyakkan gelandangan yang bekas pesakit mental mahu dimasukkan semula ke wad hospital itu kerana menyedari mereka boleh pulih sekiranya sentiasa memakan ubat mengikut masa dan jumlah ditetapkan.

Katanya dalam keadaan tersebut, keluarga pesakit mental itu tidak boleh dipersalahkan kerana mereka tidak tahu bagaimana untuk membantu pesakit terbabit selepas mereka hampir sembuh dan keluar dari Hospital Sentosa.

“Disinilah pentingnya Half Way Home yang menjadi tempat bagi pesakit mental yang sudah hampir sembuh untuk keluar dari Hospital Sentosa dan selepas sembuh sepenuhnya akan kembali kepada keluarga mereka,” katanya dengan ketika ini seramai 20 pesakit mental yang hampir sembuh sedang menjadi warga rumah itu.

Sementara itu Wee berkata ketika ini kesihatan mental memberikan kesan kepada 19 peratus populasi dewasa dan 46 peratus remaja dan 13 peratus kanak-kanak setiap tahun.

“Sebenarnya 2/3 dari kita pernah menghadapi masalah mental dalam hayat hidup kita, dan tekanan itu adalah kunci utama masalah terbabit tetapi tekanan tidak dianggap sebagai kesihatan mental,” katanya sambil menambah tekanan itu akan menyebabkan kemurungan, menyendiri sehingga sanggup menderakan isteri atau membunuh diri.

Disamping itu, beliau juga memohon tapak tanah lebih besar terletak berhampiran rumah terbabit diberikan oleh kerajaan negeri kepada PKMS bagi membolehkan persatuan membina rumah Half Way Home yang besar. — DayakDaily

Advertisement