Oleh Dean Adam
BINTULU, Mei 28: Sepuluh orang nyaris maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di sini tengah malam tadi.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah malam itu, tiada laporan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.25 tengah malam.
Katanya, sepasukan anggota bomba dari BBP Bintulu kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, komander operasi melaporkan kemalangan tersebut melibatkan empat kenderaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat seorang pemandu kenderaan yang tersepit sebelum dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama menambah, pasukan operasi berjaya mengeluarkan mangsa dengan memecahkan tingkap dan mendapati mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.
Katanya, operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 1.38 pagi. — DayakDaily