10 keluarga terjejas akibat kebakaran di Semerah Padi

Anggota bomba berusaha memadam kabakaran.
Advertisement

KUCHING, Sept 5: Sebanyak 10 buah keluarga yang terdiri daripada 35 orang ahli keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Semerah Padi musnah dijilat api semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima laporan berhubung kejadian pada jam 5.16 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan Tabuan Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian.

Advertisement

“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis dua tingkat yang telah terbakar 100 peratus.

“Pasukan bomba kemudian segera mengawal kebakaran dengan menggunakan teknik deffensive dan membentang satu aliran dua pancutan dari jentera BBP Petra Jaya dan satu aliran dua pancutan lagi dari jentera BBP Tabuan Jaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kerja-kerja pemadaman selesai sepenuhnya pada jam 8.45 malam.

Kesemua penghuni rumah tersebut yang terdiri daripada 12 lelaki, 15 wanita dan lapan kanak-kanak dilaporkan selamat.

“Kesemua 10 buah keluarga yang terdiri daripada 35 orang tinggal di rumah tersebut berjaya menyelamatkan diri sebelum api semakin marak,” katanya.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily

Advertisement