10 individu nyaris maut selepas Toyota Hilux dinaiki terbalik

Kelihatan keadaan sebuah Toyota Hilux yang dalam keadaan terbalik.

Oleh Dean Adam

SONG, Jun 7: Seramai 10 individu nyaris maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki mereka terbabas lalu terbalik di Jalan Balak Ta Ann Song-Ngemah, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.44 petang.


Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song kemudian bergegas ke tempat kemalangan untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, komander operasi melaporkan kejadian itu melibatkan sebuah kenderaan Toyota Hilux dalam terbalik.

“Komander operasi segera membuat ‘size up’ di tempat kejadian dan mendapati terdapat 10 orang mangsa telah keluar dari kenderaan itu dengan bantuan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya di sini hari ini.

Anggota bomba membantu mangsa yang cedera.

Jurucakap sama menambah, pemeriksaan lanjut mendapati tiga orang mangsa cedera, manakala tujuh lagi selamat.

Katanya, pasukan bomba kemudian membantu menghantar mangsa yang cedera ke Klinik Kesihatan Song untuk mendapatkan rawatan.

“Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 4.18 petang,” ujarnya. — DayakDaily