Yussibnosh: Senaraikan SMK St Patrick dalam program baikpulih, naiktaraf sekolah daif

The Sarawak Legislative Assembly (DUN) Complex in Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 8 Nov: SMK St Patrick, Mukah, harus disenaraikan di dalam program baikpulih dan naiktaraf sekolah-sekolah daif di negeri ini.

ADUN Tellian, Yussibnosh Balo, berkata perkara itu harus diberi keutamaan kerana SMK St Patrick bakal menerima kemasukan lebih 700 pelajar pada tahun hadapan.


“Saya memohon agar peruntukan untuk membina semula dan membaikpulih sekolah daif disediakan untuk SMK St Patrick.

“Pada tahun 2020, sekolah (tersebut) akan menghadapi kekurangan dari segi perabot, makmal sains, bilik guru, kantin dan koperasi, bilik cetak bengkel, pusat sumber dan blok serbaguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2020) 2019 dan Usul Resolusi Anggaran Pembangunan Bagi Perbelanjaan 2020 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Tambah Yussibnosh, jumlah kelas yang boleh digunakan pada masa sekarang hanya 13 buah dan kemasukan lebih 700 pelajar bakal mengundang masalah.

Justeru, beliau memohon agar sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM5.5 juta untuk membaikpulih dan menaiktaraf sekolah-sekolah di seluruh Sarawak turut melibatkan SMK St Patrick.

Menurut Yussibnosh, program baikpulih dan naiktaraf itu dibawah kawal selia Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda) dan melibatkan 62 buah sekolah di seluruh negeri. — DayakDaily