Oleh Chris Bishop
BAU, Jun 10: Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komiditi Willie Mongin menggesa rakyat agar kekal patuh kepada prosedur operasi ‘standard’ (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan mulai hari ini.
Willie yang juga MP Puncak Borneo berkata, walaupun pihak kerajaan telah memberi banyak kelonggaran namun virus Covid-19 masih berlegar di ruang udara dan rakyat harus berhati hati.
“Saya ingin berpesan kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya di kawasan Parlimen Puncak Borneo supaya kekal patuh kepada SOP PKPP.
“Amalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan. Norma baharu ini bukanlah sesuatu yang mudah sebab ia bukan kebiasaan kita.
“Namun saya harap semua dapat membiasakan diri. Bukan kita sahaja yang menghadapi tekanan akibat pandemik ini tetapi seluruh dunia turut mengalaminya,” kata Willie.
Beliau berkata demikian pada sidang media selesai majlis penyerahan peralatan sanitasi kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Bau hari ini.
Terdahulu pada ucapannya, Mongin berkata penyerahan peralatan tersebut adalah untuk membantu Bomba Bau melaksanakan proses sanitasi di tempat awam di sekitar Bau.
Willie turut mengucapkan terima kasih kepada anggota Bomba yang turut berada di barisan hadapan dalam memerangi penularan wabak Covid-19. — DayakDaily