“White Rajah” dijangka mula pengambaran pada April atau Mei tahun ini

Abdul Karim (tengah) ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Pengiraan Detik AIFFA Ke-4.

KUCHING, 25 Jan: Pengambaran filem “White Rajah” yang mengisahkan sejarah pemerintahan James Brooke di negeri ini dijangka akan bermula pada April atau Mei tahun ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata beliau sudah bercakap dengan penerbit filem supaya memulakan pengambaran filem itu yang sudah lama dinantikan.

“Penerbit memberitahu kalau tiada halangan mereka mungkin mula (pengambaran filem White Rajah) sekitar April atau Mei depan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pengiraan Detik Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) Ke-4, di sini, hari ini.


Abdul Karim (kanan) melancarkan Pengiraan Detik AIFFA Ke-4.

Abdul Karim berkata krew dan penerbit filem terbabit sudah berkunjung ke negeri ini tahun lepas tetapi tidak membuat pengambaran filem kerana musim hujan lebat pada penhujung tahun. Mereka memutuskan untuk memulakan pengambaran tahun ini selepas musim hujan.

Sebelum itu, beliau juga sempat bertemu dengan penerbit filem terbabit dan berbincang mengenainya ketika berkunjung ke London dan Amsterdam baharu-baharu ini ketika menghadiri satu acara pengurusan muzium dan Ordinan Warisan.

Abdul Karim sehubungan itu berharap penerbit dapat memulakan pengambaran filem itu tahun ini dan menjadikan lokasi pengambaran filem itu terkenal di seluruh dunia seperti lokasi pengambaran filem “The Hobbits” di New Zealand yang ketika ini menerima sehingga seramai 4,000 pelancong sehari.

Filem ‘White Rajah’ merupakan sebuah drama mengenai James Brooke yang tiba di negeri ini sekitar tahun 1840-an dan kemudian jatuh cinta dengan kecantikan Sarawak, rakyat dan budayanya.

Penerbit filem sebelum ini turut membayangkan sebuah replika kapal berskala penuh kapal Royalist, iaitu kapal layar yang digunakan oleh James Brooke untuk belayar ke negeri ini pada hujung zaman 1830-an.

Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan penerbit filem, Margate House Films, telah menandatangani perjanjian pembiayaan filem ‘White Rajah’ bernilai dolar Amerika Syarikat (AS$) 15 juta untuk pengambaran filem pada 10 September, 2016. — DayakDaily