Waytha: Perpaduan kaum di Sarawak harus dicontohi negeri lain

Waytha (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penetapan kawasan rukun tetangga baharu kepada seorang penerima.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, Julai 21: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Waytha Moorthy Ponnusamy setuju Sarawak memiliki perpaduan kaum yang erat dan harus dicontohi negeri-negeri lain.

“Saya setuju Sarawak adalah negeri yang paling bersatu di Malaysia.

Advertisement

“Saya berpendapat ini adalah kerana rakyat Sarawak saling menghormati agama dan bangsa di antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media setelah menghadiri Program Perpaduan Demi Negara, Rukun Tetangga, Persatuan Penduduk dan NGO tahun 2019 Peringkat Negeri Sarawak di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapan di majlis yang diadakan di Dewan Suarah Kota Samarahan, Waytha berkata perpaduan rakyat Sarawak amat unik.

Katanya, dalam satu keluarga ada penganut agama kristian, Islam dan sebagainya dan mereka hidup aman damai.

“Ini adalah kerana rakyat Sarawak menerima perbezaan agama dan menumpukan perhatian pada hubungan atas dasar nilai-nilai murni sejagat dan semangat persaudaraan.

“Hubungan ini sangat unik dan perlu dicontohi semua negeri lain di Malaysia,” tegas beliau.

Peserta-perserta program dan Waytha (depan, berdiri lima dari kanan) mengibarkan bendera Malaysia sambil menyanyikan lagu ‘Perpaduan Bangsa’.

Mengulas isu yang sama, Waytha berkata rahsia keamanan yang wujud bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia adalah dari sikap penerimaan rakyat berbilang kaum.

Tegas beliau, sejarah membuktikan yang banyak negara di dunia hari ini tidak bersifat seragam dari segi bangsa, budaya, agama dan sebagainya.

“Semua kaum mempunyai nilai-nilai murni sejagat maka kita harus memncari titik persamaan untuk membina Malaysia yang bersatu padu,” katanya. — DayakDaily

Advertisement