Warga Indonesia ditemui tidak bernyawa

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, Sept 22: Seorang warga Indonesia ditemui tidak bernyawa di bilik sewanya yang beralamat di Sg Maong Tengah di sini pagi semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching Supt Awang Din Awang Ghani dalam satu kenyataan, kejadian tersebut dimaklumkan menerusi satu panggilan telefon dari orang awam.

“Pemeriksaan polis mendapati terdapat kecederaan pada bahagian dahi mangsa dipercayai dari objek tumpul dan kesan lebam di bahagian dada tetapi tidak dapat dipasti punca.

“Tiada senjata dijumpai dan tiada tanda-tanda pergelutan berlaku di bilik mangsa yang terbaring di atas tilam dengan keadaan yang baik dan keadaan di atas katil tidak berselerak,” katanya.

Turut hadir ditempat kejadian adalah pakar pathologi dari Hospital Umum Sarawak (HUS) yang menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas mangsa dan tempat kejadian.

Awang Din dalam pada itu berkata besar kemungkinan mangsa mempunyai penyakit batuk berdarah atau Tibi kerana terdapat percikan darah di dinding dan darah keluar dari mulut dan hidung mangsa.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan punca kematian berdasarkan pemeriksaan awal dan juga tidak dapat mengesahkan sama ada kejadian tersebut mempunyai unsur jenayah atau sebaliknya.

Bedah siasat akan dijalankan pada minggu hadapan namum tarikh dan masa belum ditetapkan.

Polis masih mengesan dua orang rakan senegara yang menjadi jiran mangsa untuk membantu siasatan. — DayakDaily